Empat graduan dwi-ijazah terima hadiah kecemerlangan

Empat graduan dwi-ijazah terima hadiah kecemerlangan

KUANTAN: Pengantarabangsaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan universiti di Jerman mampu melahirkan graduan berdaya saing.

Graduan program dwi-ijazah Mekatronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Nabilah Rosli, 25, berkata mahasiswa perlu mencari peluang menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran terutama dari segi teknologi. Dia berbangga apabila berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh dua ijazah serentak daripada UMP dan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA). Lebih membanggakan, Nabilah dan sahabat baiknya, Ong Kai Li, 24 berkongsi kejayaan menerima Hadiah Kecemerlangan Program Dwi-Ijazah pada Majlis Konvokesyen UMP yang ke-14 di UMP, baru-baru ini. Nabilah dari Terengganu dan Kai Li dari Pulau Pinang bersyukur serta teruja dapat menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan. Perbezaan budaya bukan halangan kepada mereka untuk sentiasa berkongsi pandangan dan idea dalam melaksanakan setiap tugasan diberi pensyarah mereka.

Nabilah berkata, UMP adalah universiti terbaik dalam membina jati diri insan dari segi akademik dan pembentukan sahsiah diri serta meningkatkan pengetahuan dalam mendepani teknologi. “Untuk terus maju dan berjaya, mahasiswa perlu sentiasa mencari peluang memajukan diri dan tidak mudah berputus asa kerana kejayaan tidak hadir tanpa usaha gigih,” katanya. Sementara itu, Kai Li yang juga penerima Anugerah Dekan berkata, selama enam semester sepanjang pengajian, dia berpegang kepada prinsip pemikiran positif yang menjadi kunci kejayaan. Katanya, UMP adalah universiti awam yang berupaya membina nama dalam bidang teknologi dan kejuruteraan pada peringkat antarabangsa. “Pengalaman dan kepahitan ditempuh ketika pengajian menjadi pengalaman dalam hidup terutama cabaran mempelajari bahasa asing serta ketika menjalani program mobiliti di Jerman selama enam bulan. “Pengalaman belajar di Jerman membolehkan saya peluang belajar kebudayaan dan teknologi negara terbabit, malah dapat mempelajari budaya masyarakat Jerman dalam mendidik generasi muda,” katanya. Kai Li kini berkhidmat sebagai Jurutera Pembangunan dan Penyelidikan di Vitrox Corporation Berhad. Turut menerima anugerah itu ialah Mitchell Enrique Kuansin, 24, yang juga menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah.

Selain itu, turut berkongsi kegembiraan adalah penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat, Datuk Mokhtar Samad yang turut berkongsi pentas konvokesyen serentak dengan isteri dan empat anaknya selepas berjaya menamatkan pengajian program Master Eksekutif Pengurusan Projek di bawah UMP Advanced Education (UMPA). Seramai 3,782 graduan UMP bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UMP.

Rujuk sumber berita di sini.


Print   Email